Monday, June 7, 2010

SMS tipu dari Tawau

SMS tipu dari Tawau
Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
2010/06/08

KUALA LUMPUR: Hanya berbekalkan empat komputer riba, sindiket SMS yang menggunakan nama syarikat gergasi kononnya menawarkan hadiah wang tunai memenangi cabutan bertuah berjaya mengaut RM6.4 juta sepanjang tiga tahun kegiatan mereka.
Sindiket didalangi 24 warga asing dan dua rakyat tempatan itu menjadikan kondominium di Tawau, Sabah sebagai markas operasi untuk membuat panggilan telefon serta menghantar kiriman SMS secara rawak bagi memancing mangsa. Namun, kegiatan sindiket terbabit tumpas dalam dua serbuan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman serta Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau membawa penemuan sejumlah peralatan yang digunakan dalam kegiatan itu. Ini termasuk empat komputer riba, 73 telefon bimbit, 77 kad SIM terpakai, 12 kad SIM baru, 41 buku akaun dan skrip yang digunakan untuk memperdayakan mangsa, modem jalur lebar serta wang tunai RM6,000.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Koh Hong Sun berkata, sindiket terbabit didalangi rakyat negara jiran berusia 16 hingga 41 tahun yang ditahan dalam dua serbuan di dua buah kondominium berasingan.


“Siasatan awal mendapati setiap hari mereka menghantar 4,000 SMS melalui komputer riba yang setiap satu boleh menghantar 1,000 SMS kononnya memenangi hadiah bernilai puluhan ribu ringgit anjuran syarikat gergasi seperti Petronas, Shell, Maxis dan Power Root. “Apabila mangsa memberi maklum balas, ahli sindiket ini akan meminta mereka membayar jumlah tertentu kononnya sebagai bayaran pemprosesan sebelum menuntut hadiah terbabit. “Lebih teruk lagi, ada yang diperdayakan hingga memberi kata laluan perbankan Internet masing-masing menyebabkan wang simpanan mereka dipindahkan ke akaun yang tidak dikenali,” katanya ketika sidang media di Bukit Perdana, di sini.


Koh berkata, sindiket terbabit menggunakan akaun bank milik rakyat tempatan dan siasatan masih dilakukan bagi mengenal pasti hubungan pemilik akaun dengan sindiket terbabit. “Selain itu, polis kini memburu dua lagi suspek dikenali sebagai Pak Agus dan Achoh yang masih bebas bagi membantu siasatan,” katanya.

mymetro

No comments:

Post a Comment

tak klik, dia gila