Monday, June 7, 2010

Raja benteng England

RUSTENBURG: Ledley King muncul pilihan utama menggantikan Rio Ferdinand sebagai nadi utama pertahanan skuad Piala Dunia England, begitupun pertahanan Tottenham itu bimbang berdepan risiko kecederaan sepanjang hayat.

Selepas Ferdinand diketepikan daripada kejohanan akibat kecederaan ketika sesi latihan sebaik tiba di Afrika Selatan, King akan memulakan permainan sebaris dengan John Terry pada perlawanan pembukaan, menentang Amerika Syarikat (AS), awal pagi Ahad ini.


Pemain berusia 29 tahun itu berjaya memikat pengurus England, Fabio Capello bahawa dia layak beraksi di kejohanan itu biarpun keadaan lututnya masih di bawah pengawasan dan perlu melengkapkan jadual latihan khas, dia mengakui yang dirinya bakal berdepan situasi berbeza dalam hidupnya selepas ini.


Hal itu dapat dijangka mengikut rutin hariannya, amat sukar apabila dia terpaksa memberitahu anaknya berusia enam tahun bahawa dia tidak boleh bermain bola sepak dengannya lagi jika gagal pulih daripada kecederaan.


King percaya peluang untuk beraksi ketika masih bergelar pemain profesional tidak boleh dilepaskan dan dia terpaksa memperjudikan nasibnya.


“Setiap masa saya bangun dan berjalan, rasa agak terbatas; mencangkung juga tidak selesa, saya tidak dapat meluruskan kaki hingga mencecah pangkal paha.

SERIUS...gelagat King ketika sidang akhbar di Kampus Sukan Royal Bafokeng, kelmarin. Dia mengambil alih tugas Ferdinand di bahagian pertahanan.


“Tetapi imbasan sejak dua hingga tiga tahun lalu juga menunjukkan situasi hampir sama apabila saya perlu dibedah, jika tidak ia agak baik sedikit, baik juga saya dapat tahu.


“Tetapi ia akan memberi kesan kepada saya dalam kehidupan akan datang, mungkin lebih baik. Berada di sini juga suatu perkara yang tidak mungkin saya lupakan, berada dalam skuad 23 pemain adalah perkara yang tidak mungkin saya menoleh kembali.”

King pernah beraksi bersama Terry pada Euro 2004, ketika Ferdinand digantung akibat penyalahgunaan dadah, tetapi disingkir daripada Piala Dunia 2006 akibat patah tulang kaki.


“Anda sudah lama berehat, jadi lebih baik lakukan apa saja yang anda peroleh dengan yang terbaik,” katanya lagi.


“Itulah cara saya melihat perkara ini. Kerjaya saya amat singkat dan saya cuba dapatkan segala-gala yang mampu.


“Tiada seorang pemain pun tahu bila kerjayanya akan berakhir, jadi saya cuba memberi perhatian penuh pada apa yang saya sedang lakukan.”

Biarpun King berada di kedudukan terbaik menggantikan Ferdinand, Capello tetap membuat satu lagi pilihan meletakkan Jamie Carragher bersama Terry, selepas memujuk pertahanan Liverpool itu melupakan seketika persaraannya di peringkat antarabangsa untuk menggantikan tempat rakannya di Liverpool, Glen Johnson di bek kanan.


Mathew Upson, yang mengambil tempat Ferdinand dan Terry sepanjang tempoh 18 bulan di bawah Capello diketepikan selepas mempamer prestasi hambar dalam pusingan kedua musim lalu.


Upson bergelut untuk kembali cergas selepas dilarang sertai latihan akibat demam.


Jika Terry dan King berjaya berada di padang bersama, mereka akan kembali membentuk gandingan mantap selepas mereka bersama sejak hampir sedekad lalu di kelab timur London (West Ham) ketika zaman kanak-kanak.


“Saya tidak bermain bersama Terry hampir tiga tahun tetapi itu tidak membimbangkan saya.

“Saya sering menyaksikan dia bermain, cukup untuk mengenali permainannya.

“Komunikasi menjadi perkara paling penting bagi pertahanan. Dia seorang yang suka bercakap saya akan bercakap juga, jadi saya rasa kami akan menjadi lebih baik.” - AFP

No comments:

Post a Comment

tak klik, dia gila