Tuesday, June 8, 2010

ENGLAND DAH SEDIA

RUSTENBURG: Wayne Rooney berazam untuk mempamer aksi cemerlang pada perlawanan pembukaan Kumpulan C menentang Amerika Syarikat, Sabtu ini dan keazaman penyerang England itu lahir selepas aksi skuad berkenaan dikatakan tidak begitu memberangsangkan.
Anak buah Fabio Capello dilihat tidak begitu meyakinkan ketika perlawanan pemanas badan menentang Mexico dan Jepun dan prestasi hambar itu terus terpamer ketika menentang kelab Afrika Selatan, Platinum Star walaupun berjaya menang 3-0.


England bagaimanapun kelihatan lebih tajam selepas kemasukan Rooney pada babak kedua dan penyerang Manchester United itu merencana gol kedua pasukannya sebelum dia sendiri menghasilkan gol ketiga.


“Ia aksi yang cukup baik, kami perlu menumpukan perhatian dan saya dapat bermain selama 45 minit. Saya sangat gembira,” kata Rooney.


“Saya fikir kami sudah ada apa yang kami perlukan. Saya berharap dapat meningkatkan lagi permainan saya tetapi sepanjang 45 minit itu, saya sangat gembira.


“Kami sudah bersedia - ini adalah perlawanan persediaan kami dan perlawanan sebenar akan bermula Sabtu ini. Saya tidak sabar menunggu hari itu. Lebih cepat ia berlangsung, lebih bagus.” Bagaimanapun Capello kelihatan berang dengan aksi yang dipersembahkan anak buahnya dan beliau tidak langsung duduk di bangku simpanan sepanjang babak kedua permainan.


Pengendali itu memilih formasi 4-4-2 pada babak pertama kerana ketiadaan Rooney manakala penjaga gol Manchester City, Joe Hart mungkin diturunkan di Rustenburg, Sabtu ini.


Aksi Rooney pada perlawanan semalam turut menyaksikan dia dikenakan kad kuning sekali gus mengingatkan semula kepada apa yang berlaku pada suku akhir Piala Dunia 2006 apabila dia dikenakan kad merah kerana mengasari lawan dan England tewas menerusi penentuan penalti kepada Portugal.


Rakan sepasukannya, Jermain Defoe bagaimanapun percaya Rooney tidak boleh meninggalkan aksi agresifnya terutama pada perlawanan penting.


“Apabila anda bersemangat, aksi anda akan bertukar agresif dan itu adalah petanda baik,” kata Defoe. “Jika sikap itu tiada pada Wayne, dia pastinya bukan Wayne yang kita kenali.” Defoe menyokong pandangan Rooney yang menyebut England sudah bersedia mengibar cabaran lebih bermakna pada Piala Dunia kali ini.


“Semua pemain dahagakan kejayaan. Kami mahu menang. Kami akan memikirkan mengenai lawan kami apabila tiba masanya tetapi saya rasa kami sudah pun mempunyai semangat untuk menang.

“Kami mencatat kemenangan dalam perlawanan ujian dan kami mahu keadaan itu berterusan pada saingan sebenar nanti.” - AFP

_________________________________________________________

No comments:

Post a Comment

tak klik, dia gila